Giliran Sumareh Pula

KUALA LUMPUR: Jika Safawi Rasid menggemari Porsche Cayman 987, Mercedes Benz pula pilihan seorang lagi pemain kebangsaan, Mohamadou Sumareh.

Striker naturalisasi pertama negara itu berkesempatan berkongsi gambarnya yang bergaya di hadapan jentera dipercayai kereta baharunya di laman Instagramnya, semalam.

Gambar terbabit turut disertakan dengan kapsyen ‘jika anda tidak pergi, anda tidak akan tahu’ beserta tanda pagar #dudukdirumah dan #kekalselamat.

Hantaran Sumareh itu hanya tiga hari selepas Safawi menarik perhatian penyokong bola sepak dengan jentera mewah berwarna merahnya, Isnin lalu.

Berdasarkan reka bentuk kereta Sumareh berwarna kelabu metalik itu, dipercayai kereta terbabit adalah Mercedes A-Class Hatchback dengan harga permulaan sekitar RM227,888.

Setakat jam 11 pagi, hantaran terbabit mendapat lebih 25,000 tanda suka dan 175 komen.

Selain pemain tempatan, beberapa bekas rakan sepasukannya tidak ketinggalan meninggalkan komen antaranya Matt Davies yang meminta Sumareh supaya tidak ‘meniru’ Safawi.

Namun Sumareh hanya tertawa sambil berkata Safawi adalah idola saya, saya hanya mahu menjadi seperti dia.

Manakala Safuwan Baharuddin yang kini beraksi bersama Selangor pula memanggil Matt, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon supaya melihat baju dan kasut yang dipakai Sumareh pada gambar terbabit.