Giliran FELDA United

KUANTAN: Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC) melaksanakan pemotongan lima hingga 20 peratus gaji pemain dan jurulatih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman berkata, pemotongan gaji itu bermula bulan ini dan sekiranya PKP berakhir, bayaran gaji bulan berikutnya akan dibayar mengikut kontrak.

“Pada 14 April lalu, kami sudah memberikan surat kepada semua pemain dan jurulatih Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan akademi untuk memaklumkan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus. “Pemotongan gaji hanya untuk tempoh PKP sahaja dan setakat ini secara tidak rasmi semua bersetuju dengan pemotongan yang dicadangkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan FUFC.

“Antara faktor pemotongan itu dilaksanakan disebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super dan pada masa sama, ia dapat menampung sumber kewangan kelab,” katanya.

Afizal berkata, sebelum keputusan pemotongan itu dilaksanakan, sesi perbincangan turut dilakukan bersama ketua jurulatih dan kapten pasukan bagi mendapatkan pandangan.

“Hasil perbincangan itu, segala pandangan dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan FUFC dalam menentukan jumlah potongan gaji yang perlu dilakukan. “FUFC juga mengikut saranan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Sebelum ini, beberapa pasukan termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka turut membuat pemotongan gaji.