Ganti Tempat Kim Swee

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan baharu tiga ketua unit di bawah Jabatan Teknikal dan Pembangunan badan induk bola sepak negara itu.

FAM mengumumkan bekas Pengarah Teknikal FAM, Lim Kim Chon yang juga konsultan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan bagi menggantikan David Abela dari Australia.

Kim Chon, 65, merupakan jurulatih berlesen profesional dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan kejurulatihan dan pernah berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sebelum ini, kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan Mohamed Razip Ismail dilantik sebagai Ketua Unit Belia FAM bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee yang kini merupakan Penolong Pengarah Teknikal FAM.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Operasi 1Malaysia Cardiff City Football Academy, Cameron Leon Ng dilantik sebagai Ketua Unit Akar Umbi bagi menggantikan tempat ditinggalkan Samuel Siew.

Dalam perkembangan berasingan, bekas pengadil kebangsaan dan FIFA Nagor Amir Noor Mohamed dilantik sebagai Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM.

Pemenang Anugerah Pengadil Terbaik Kebangsaan 2013 berusia 37 tahun itu akan bertanggungjawab menguruskan pelbagai program pembangunan pengadil termasuk projek Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS).

Beliau yang telah melapor diri bulan ini akan dibantu 14 pegawai pembangunan pengadil negeri yang telah dilantik oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing bagi melancarkan hal ehwal pemantauan prestasi dan program pembangunan pengadil di seluruh negara. – BERNAMA