Fabio Sah Jadi Pemain Naturalisasi Ketiga

Skuad Emiriyah Arab Bersatu (UAE) terdesak untuk membentuk barisan terkuat bagi mencapai sasaran layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/2023 apabila sah menaturalisasikan seorang lagi pemain dari Brazil, Fabio De Lima pada bulan lepas.

Pemain tengah yang berusia 26 tahun itu beraksi dalam UAE Pro League sejak musim 2014 bersama kelab Al Wasl dan telah menjaringkan 104 gol dalam 130 penampilan.

Beliau diberi passport UAE selepas memenuhi salah satu peraturan naturalisasi oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) iaitu pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara.

De Lima merupakan pemain naturalisasi ketiga UAE selain peny3rang prolifik Al Wahda, Sebastian Tagliabue dan pemain Al Ain, Caio Canedo. Mereka bertiga akan berganding dengan pemain tempatan yang berkualiti seperti Bandar Al Ahbabi, Abdullah Ramadan,  Omar Abdul Rahman dan Ali Makhbout.

Dengan status tersebut, beliau berpeluang membuat penampilan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada bulan Oktober nanti jika mendapat panggilan daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Selalu dikaitkan perpindahan ke kelab sekitar Asia Barat, De Lima disifatkan sebagai pemain tengah yang paling bernilai dalam Arabian Gulf League dan pernah diundi sebagai pemain asing terbaik Arabian Gulf League pada musim 2016/2017.

Bekas pemain Vasco Da Gama itu terkenal dengan keupayaan melakukan rembatan tepat dengan kaki kiri serta larian yang pantas sehingga memberi kesukaran kepada pihak lawan. Skill yang ada padanya memberi kelebihan kepada UAE untuk membentuk jentera tengah paling ampuh.

UAE kini berada di kedudukan keempat kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 6 mata selepas 4 perlawanan. Prestasi mereka ketika dibawah bimbingan Van Marwijk tidak begitu memuaskan apabila tewas kepada dua pasukan Asean, Vietnam dan Thailand.

Kem UAE juga terumbang-ambing apabila kehilangan jurulatih buat kali kedua selepas pengendali dari Serbia, Ivan Jovanovic dipecat pada minggu lalu walaupun baru dilantik pada bulan disember 2019.