Evan Dimas Berada Dalam Radar Pasukan Pantai Timur

KUALA TERENGGANU: Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas mengakui pemain kebangsaan Indonesia, Evan Dimas berada dalam radar skuad Penyu musim depan.

Katanya, pemain berusia 25 tahun itu yang pernah membuat penampilan bersama pasukan Selangor pada 2018 adalah antara yang menjadi pilihan bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan yang bakal bersaing dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC itu.

“Sebelum ini kita ada mengintai pemain dari ASEAN sebab kita memang perlukan untuk mengisi kuota berkenaan sebagaimana yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Tapi disebabkan harga yang ditawarkan untuk mendapatkan khidmat pemain itu (Evan Dimas) bukan dalam kemampuan, kita tidak jadi untuk mengambil pemain dari Indonesia itu.

“Bagi mengisi kuota berkenaan, kita akan berusaha mencari pemain lain yang bersesuaian dengan kemampuan kita bagi mengelak timbulnya masalah kewangan kepada pasukan nanti,” katanya.

Sukan BH hari ini melaporkan Evan yang mewakili kelab Persija Jakarta musim ini bersama rakan senegaranya, Hansamu Yama Pranata sedang diintai sekurang-kurangnya lima pasukan dalam Liga M termasuk TFC, Pahang, Perak, PJ City dan Sabah untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Ahad lalu, pemain sayap TFC kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli yang sebelum ini mengisi kuota pemain import ASEAN sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Terengganu sekali gus membuktikan tiada lagi kelibat pemain itu bersama skuad Penyu musim depan.