Dua Pemain Kedah Darul Aman Disahkan Positif C0VID-19

Dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) disahkan positif C0VID-19 sekali gus menyaksikan perlawanan antara KDA bertemu Penang FC (PFC) malam esok ditunda ke satu tarikh baharu.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang menjelaskan penundaan aksi terbabit dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan.

“MFL dimaklumkan oleh pengurusan KDA bahawa dua pemain disahkan positif C0VID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga gelembung sukan.

“Justeru, perlawanan KDA dengan PFC terpaksa ditunda bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif C0VID-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan. Di sini pengurusan Kedah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ghani memaklumkan tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga gelembung sukan demi kelancaran Liga Malaysia (Liga M).

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti C0VID-19.

“Liga M akan kembali bersambung pada esok dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini,” katanya.