Dijangka Pikul Tugas Berat

PELANTIKAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8, diharap menjadi penutup kepada kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, pelantikan Muhyiddin yang diumumkan petang ini, menandakan negara akan memulakan langkah baharu untuk dibina semula.

“Saya harap pengumuman terkini mengenai perlantikan Muhyiddin akan menjadi penutup kepada babak sedih politik negara dan menandakan penyambungan dalam pembinaan semula negara kita.

“Pemimpin yang akan menerima amanah baharu perlu memastikan bahawa jasa tokoh terdahulu akan terus dikenang dan dihargai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-8 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimaklumkan Istana Negara menerusi kenyataan dikeluarkan petang ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Muhyiddin dijangka memikul tugas yang berat khususnya dalam mengembalikan keharmonian antara kaum.

“Tugas berat yang terpaksa dipikul oleh beliau ialah untuk menyatukan semula negara, dengan memastikan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia kembali menjadi tunjang kekuatan kita.

“Tidak ada sesiapa yang boleh ditinggalkan, malah Bersatu juga perlu kembali disatukan, dengan disiplin yang kemas dan pergerakan jentera yang lebih tersusun,” katanya.

Sumber : HM