Detik Yang Dinantikan Safawi Akhirnya Menjadi Kenyataan

KUALA LUMPUR: Selepas menunggu dengan penuh kesabaran, detik yang dinantikan Safawi Rasid akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya disenaraikan dalam skuad Portimonense menentang juara Portugal, Porto esok (1.30 pagi Isnin waktu Malaysia).

Berita gembira itu disampaikan Safawi sendiri kepada Utusan Malaysia dalam aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

“Alhamdulillah dah tersenarai untuk ke Porto. Main atau tidak itu keputusan jurulatih.

“Sudah tentu saya terharu, perasaan amat gembira dapat menyertai pasukan utama menentang Porto. Insya-Allah saya akan bagi yang terbaik jika diturunkan.

“Dalam latihan saya sentiasa berikan yang terbaik, alhamdulillah akhirnya diberi kepercayaan,” kata Safawi.

Menurut Safawi, 23, dia akan membuang rasa gemuruh membuat kemunculan sulung dalam Liga Primeira, sebaliknya cuba bermain seperti biasa.

“Doakanlah yang terbaik untuk perlawanan menentang Porto,” katanya.

PENANTIAN JADI KENYATAAN

Berita tersebut pastinya mengembirakan penyokong Malaysia yang amat teruja untuk melihat aksi bintang Harimau Malaya itu, apatah lagi perlawanan tersebut dibawakan secara langsung oleh saluran sukan Astro Arena.

Sejak tiba di Portugal awal bulan lalu, Safawi masih belum mendapat tempat dalam skuad utama dan hanya membuat satu kemunculan bersama pasukan bawah 23 tahun (b-23) kelab tersebut, 16 Oktober lalu.

Ini kali kedua Astro Arena menyiarkan perlawanan Primeira Liga secara langsung selepas membawakan aksi Portimonense menentang Maritimo, 17 Oktober lalu yang menyaksikan Safawi tidak diturunkan.

Harapan peminat untuk melihat bintang Harimau Malaya itu beraksi dalam pertemuan menentang Tondela, 24 Oktober lalu juga tidak kesampaian.

Dia juga tidak mendapat tempat dalam skuad Portimonense ketika menentang Santa Clara, Ahad lalu yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-2.

Apa yang pasti, peminat Malaysia akan menunggu di depan TV pada 1.30 pagi Isnin ini untuk melihat kemunculan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, apatah lagi lawan mereka adalah gergasi Portugal, Porto.

SAFAWI BERPELUANG JUMPA PEPE

Porto bakal diketuai bekas tonggak pertahanan Real Madrid dan Portugal, Pepe, malah pasukan tersebut memegang reputasi selaku juara Eropah dua kali dan telah memenangi gelara Liga Primeira 29 kali.

Membayangkan Safawi bersaing dengan Pepe di atas padang yang sama sudah cukup menaikkan keterujaan peminat bola sepak tanah air.