Datuk Seri Reezal Merican mendedahkan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan para penonton tidak perlu melakukan ujian saringan C0vid-19 jika mereka dibenarkan masuk ke stadium nanti.

Beliau berkata, ini kerana kehadiran penonton tidak menjejaskan konsep gelembung sukan yang digunakan dalam saingan Liga Malaysia ketika ini.

“Kalau dalam kawasan PKPP, PKPB, mereka boleh masuk sahaja,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, hanya mereka yang turun ke padang perlu membuat ujian saringan C0vid-19.

“Cuma, yang turun ke padang dan berkemungkinan ada kontak rapat, mereka perlu melakukannya.

“Ini bagi memastikan keselamatan dapat dijaga dan memastikan penjarakan itu sentiasa ada.”

Beliau mengulas demikian setelah mendedahkan bahawa kementerian itu akan membentangkan protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan untuk mendapatkan kebenaran kehadiran penyokong bola sepak ke stadium.

“Protokol pengurusan sukan itu akan diperincikan oleh MFL bersama Kementerian Belia dan Sukan serta semua pemegang taruh dengan cadangan awal adalah membabitkan kebenaran masuk penonton sebanyak 10 peratus atau 4,000 orang.

“Kita juga perlu lihat dari segi pembahagian penonton untuk pasukan tuan rumah dan pelawat yang turut membabitkan soal rentas negeri atau kemungkinan mewujudkan prapendaftaran kepada penyokong yang akan hadir ke stadium.

“Ini semua perlu diperhalusi dengan terperinci agar bila dilaksanakan nanti ia dilihat sempurna. Paling penting ia tidak melangggar SOP PKP yang ditetapkan.”