Datuk Abdul Rahman Abdullah Menafikan Dakwaan

Timbalan Presiden Kedah FA, Datuk Abdul Rahman Abdullah menafikan dakwaan bahawa Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin akan terlibat dalam pentadbiran pasukan pada masa akan datang.

Katanya, Menteri Besar baharu biasanya akan dicalonkan untuk memegang tampuk pentadbiran pasukan dan segala desas-desus mengenai Raja Muda Kedah adalah tidak benar.

“Sebarang perubahan pucuk pimpinan pentadbiran pasukan akan mengikut tatacara perlembagaan serta statut KFA bagi tujuan pelantikan presiden baharu selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah Darul Aman merangkap Presiden KFA meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

“Menurut perlembagaan dan statut KFA, tidak disyaratkan Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman secara automatik dilantik menjadi Presiden KFA, justeru mana-mana individu layak dicalonkan serta diundi oleh 36 Badan Gabungan KFA seterusnya dilantik menjadi Presiden KFA.

“Namun kelazimannya, Badan Gabungan KFA akan mencalonkan serta melantik Menteri Besar Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sebagai Presiden KFA.”