Daripada Pemain Bola Ke Pemandu Lori

Selepas 10 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, bekas peny3rang Terengganu, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi akhirnya nekad menggantung but musim ini walaupun masih mendapat tawaran beraksi.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM 2018 ketika mewakili Terengganu City FC (TCFC) menyatakan, biarpun masih merindui beraksi kerana sukan itu sudah sebati dalam jiwanya, namun disebabkan beberapa faktor termasuk tunggakan gajinya bersama pasukan TCFC menyebabkan dia nekad bersara lebih awal.

Ramadhan yang mendapat julukan persis pemain Belanda dan Real Madrid, Arjen Robben kerana mempunyai sepakan kaki kiri yang padu berkata, berikutan itu dia memilih kerjaya sebagai pemandu lori mengangkut buah kelapa sawit di sekitar kampungnya di Setiu serta Jerteh dan Kuala Berang.

Pemain berusia 32 tahun juga mengakui sudah ‘jatuh cinta’ dengan pekerjaan baharunya itu walaupun terpaksa melupakan sukan yang digemarinya itu sejak di sekolah rendah lagi.

“Sepatutnya saya beraksi dengan sebuah pasukan daripada Liga M3 musim ini, semua proses sudah selesai, tapi pada saat akhir sebelum menandatangani kontrak saya mengambil keputusan gantung but.

“Keputusan ini memang berat apatah lagi kerjaya bola sepak ini adalah periuk nasi saya untuk menyara keluarga, lebih-lebih lagi ketika itu isteri, Mawardah Khalid, 29, sedang mengandung anak kedua.

“Namun disebabkan kecewa dengan bekas majikan, TCFC yang sehingga kini belum lagi melunaskan tunggakan gaji sejak 2018 selain tidak dapat merasai nikmat sebenar sebagai juara Piala FAM kerana belum dapat bonus kemenangan, saya tiada pilihan melainkan nekad untuk bersara tahun ini.

“Kini dengan pekerjaan baharu sebagai pemandu lori walaupun agak janggal menceburi bidang ini, tapi sekurang-kurangnya saya lega kerana bekerja sendiri, lagipun lori berkenaan hak milik saya.

“Saya mula melakukan pekerjaan ini sejak dua minggu sebelum ketibaan Ramadan dan kerja ini bergantung kepada jumlah buah kelapa sawit, adakalanya lima kali seminggu angkut buah,” ujar Ramadhan yang juga mampu beraksi di posisi bek dan sayap kiri.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan nombor satu ini, Ramadhan yang dikurniakan dua permata, Dani Nufail, 5 dan Darris Ismael, sebulan memulakan karier profesionalnya dengan menyarung jersi Perlis diikuti Terengganu, PKNS FC, TCFC FC dan terakhir dengan membantu Kelantan United meraih juarai Piala FAM musim lalu.