Dalam Sejarah Bola Sepak Negara

MELAKA: Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan mengakui ketiadaan aksi Liga Malaysia (Liga M) hingga September depan adalah rehat paling panjang dalam sejarah bola sepak negara.

Katanya, sepanjang bergelar pemain Selangor, Pahang dan Malaysia belum berlaku penangguhan aksi sepanjang yang dilaluinya setakat ini.

Menurutnya, paling lama penangguhan akibat faktor cuaca atau banjir yang menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan dalam jangka pendek.

Dia berkata, situasi padang digenangi air dan jadual ditangguhkan sementara pernah dilalui namun situasi sekarang akibat pandemik COVID-19 berbeza.

“Kali ini latihan juga tidak dapat dilangsungkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi keselamatan umum yang perlu dipatuhi.

“Malah pemain hanya menjalani latihan sendiri di kediaman mereka untuk mengekalkan kecergasan masing-masing,” katanya.

Apapun, dia seperti orang lain mengharapkan wabak berkenaan segera berakhir dan semua aktiviti mampu berjalan seperti biasa.

Zainal berkata, fokusnya tetap terarah untuk meningkatkan persembahan skuad Hang Tuah sebaik pemain dibenarkan turun menjalani latihan.

“Saya seperti jurulatih dan pemain lain menanti penuh sabar mengharapkan saingan dapat dilangsungkan seperti dirancang Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya.