“Dah Terang Lagi Bersuluh”

Trofi Liga Super dijangka terus kekal dalam kabinet Johor Darul Ta’zim (JDT) buat musim ketujuh berturut-turut selepas skuad Harimau Selatan itu kini hanya memerlukan tujuh mata dalam baki empat aksi Liga Super musim ini.

Perbezaan enam mata dengan pasukan kedua ditambah aksi konsisten ketika ini menyaksikan JDT menjadi pilihan beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk Datuk M Karathu dan Wan Jamak Wan Hassan.

Lantas kedudukan naib juara ketika ini dilihat lebih sengit membabitkan perebutan empat pasukan iaitu Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor di mana pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua akan meraih tiket automatik ke Piala AFC musim depan.

Menurut Karathu, daripada empat pasukan itu, Kedah dianggap berpotensi untuk mengakhiri kempen di belakang JDT musim ini berdasarkan kepada prestasi terkini skuad Aidil Sharin Sahak itu.

“Saya pilih JDT juara sebab mereka hanya perlukan dua kemenangan dan satu seri saja. Lepas ini kalau tak silap saya, lawan JDT adalah dua pasukan bawah liga Sabah dan PJ City selain Selangor dan Melaka United.

“Tahap keserasian pemain tempatan dan import juga bagus dan ia berbeza dengan pasukan lain yang setiap tahun bertukar dan dah tentu perlukan masa untuk serasi.”Bagi saya pasukan naib juara lebih sengit.

“Saya rasa empat pasukan di belakang JDT ada peluang. Tapi bila tengok persembahan semasa, Kedah ada peluang lebih baik berbanding Perak, Selangor dan Terengganu yang tidak konsiten,” kata Karathu.

Pandangan sama dikongsi Wan Jamak yang mengakui skuad Helang Merah memiliki peluang cerah berbanding pasukan lain.

“Dah terang lagi bersuluh…JDT bagi saya tak agak sukar untuk digugat. Tetapi pasukan kedua nampak sengit sebab mata antara empat pasukan dekat.

“Cuma Kedah dalam dua tiga aksi selepas liga sambung balik ini, berjaya raih tiga kemenangan berturut-turut dan motivsi mereka nampak sedia.

“Tapi mereka tak boleh hilang mata dalam empat baki perlawanan sebab mata semua rapat. Dalam bola sepak apa-apa boleh jadi, dan pemain Kedah kena terus konsisten,” kata Wan Jamak yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya pada pertengahan 90-an.

Ketika ini, skuad Hijau Kuning berada di posisi kedua dengan 13 mata diikuti Perak yang mengumpul 11 mata sementara tiga pasukan iaitu Selangor, Terengganu FC dan Melaka United berkongsi 10 mata untuk mengisi kedudukan tiga hingga enam.

Manakala, JDT gah dipersada liga dengan meraih 19 mata sekaligus dalam laluan untuk mengekalkan kejuaraan liga.Ends…