‘Cukup-cukuplah’

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) supaya berhenti daripada menipu penyokong susulan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pasukan tersebut.

Menurutnya, masalah tunggakan gaji tersebut diketahui melalui pendedahan oleh pemain Kedah itu sendiri.

“Gaji lambat bukan sebelum Covid-19. Duit bonus Piala FA lambat, gaji dua bulan lambat hanya di bayar sebelum perlawanan Piala Sumbangsih.

“Pemain-pemain Kedah sendiri yang bercerita. Penyerang import kedah pun mengadu kepada pemain saya.

“Bila salah sendiri tak bayar gaji mula menunjuk jari kepada orang lain. Lepas tangan dan salahkan orang lain. Cukup-cukup tipu penyokong,” katanya dalam satu hantaran di Instagramnya, hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail dalam satu kenyataan memberikan cadangan setiap pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji perlu melunaskan hutang terlebih dahulu sebelum memotong gaji pemain akibat wabak Covid-19.

Dalam kenyataan tersebut, Tunku Ismail turut menyebut beberapa pasukan yang mengalami masalah hutang termasuk pasukan Kedah.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris bagaimanapun menegaskan kesukaran yang dialami pihak penaja akibat kesan pandemik Covid-19 memberi kesan langsung terhadap pembayaran gaji oleh KFA ketika ini selain meminta JDT tidak masuk campur urusan ahli gabungan seolah-olah melebihi kuasa FAM.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menyatakan terpaksa bersuara demi pemain dan penyokong bola sepak tempatan.

sumber: SH

“Saya tiada niat nak masuk campur. Sebelum ini saya diam, tetapi awak kaitkan JDT dalam kenyataan awak. Jadi, saya terpaksa pertahankan kelab saya yang langsung tidak masiuk campur dalam hal ini.

“Saya bersuara demi pemain yang berhempas pulas setiap tahun untuk bola sepak negara dan penyokong bola sepak tempatan,” katanya.