Calonkan semula Tun M sebagai PM

MESYUARAT tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan berlangsung malam ini di ibu pejabat PKR.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu adalah syor daripada parti itu bertujuan mencalonkan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“DAP tampil untuk cadangkan satu mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH malam ini yang akan berlangsung di ibu pejabat PKR.

“DAP mahu calonkan kembali Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri supaya beliau dapat memenuhi di samping mengotakan janji terkandung dalam manifesto PH.

“Apa pun keputusan mengenai PH harus tunggu keputusan yang dibuat malam ini dalam mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH malam ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tergempar di ibu pejabat DAP, hari ini.

Mengulas alasan mengapa DAP masih mahu Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri, Guan Eng berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu adalah individu yang berprinsip dan menolak kerjasama pintu belakang dengan parti pembangkang.

Beliau berkata, prinsip yang dipegang Dr Mahathir menyentuh hatinya.

“Apabila Perdana Menteri cakap kepada kamu beliau nak letak jawatan sebab prinsipnya, bukankah itu detik yang sangat beremosi?

“Kita ada Perdana Menteri, seorang individu yang enggan bekerjasama dengan parti kalah Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan seorang yang menolak kerjasama pintu belakang.

“Kita adalah kerajaan dibentuk melalui pemilihan yang demokratik. Jadi, kita rasakan bahawa Dr Mahathir patut terus dan habiskan apa yang ingin dilakukan termasuk mempengerusikan APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ),” katanya.

Sumber : hmetro