Bimbang Skuad Harimau Malaya Dibel@sah UAE

Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan berharap kerajaan dapat membenarkan saingan Liga Malaysia berlangsung lebih awal pada bulan Ogos berbanding Oktober atau November seperti yang dikatakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media kelmarin.

Menerusi kenyataannya dalam Bernama, Satiananthan bimbang situasi itu akan memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya sehingga menjejaskan peluang Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023.

Hal ini kerana para pemain tidak cukup cergas untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE dan Vietnam susulan penangguhan saingan Liga Malaysia sejak bulan Mac lalu ditambah pula kurang persediaan dari segi latihan.

“Macam mana nasib Malaysia dalam kempen kelayakan, skuad kebangsaan sekarang berada di kedudukan kedua. Saya risau boleh atau tidak kita bermain menentang UAE dan Vietnam kalau persediaan hanya bermula bulan Oktober.

“Kebiasaannya, kita akan ada dua atau tiga perlawanan persahabatan sebelum aksi sebenar tetapi kalau kebenaran hanya selepas bulan Oktober, bukan sahaja sukar nak aturkan perlawanan malah tahap prestasi pemain juga perlu diberi perhatian.

“Bayangkan selama enam hingga tujuh bulan pemain tidak mempunyai program latihan dan perlawanan berintensiti tinggi dan dalam tempoh yang singkat perlu bermain perlawanan yang kompetitif? Saya tidak nampak ia akan memberi kebaikan kepada pasukan kebangsaan,” kata Satiananthan kepada Bernama.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini memberi bayangan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan kembali bersambung pada bulan Oktober atau November ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan mempunyai tempoh masa yang singkat untuk membuat persediaan memandangkan saingan Liga Malaysia baru bermula jika dapat kebenaran rasmi untuk diteruskan.

“Aksi berdepan UAE dan Vietnam merupakan dua pertembungan yang penting dan pada masa sama dengan kedudukan kita, Malaysia mempunyai peluang cerah. Jika bulan Oktober baru boleh bermain, jurulatih akan hadapi masalah untuk kumpulkan pemain yang cergas.

“Untuk hadapi perlawanan getir, penting untuk jurulatih ialah memiliki barisan pemain yang aktif dan cergas. Bermakna pemain itu sedia untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif. Kalau kita bertemu UAE dalam keadaan tidak bersedia, kita pasti dibe lasah,” tambahnya.