Berita Gembira Buat Penyokong Kedah

KEDAH berpeluang ke saingan Piala AFC 2021 sekiranya Liga Malaysia (Liga M) musim 2020 tidak dapat berlangsung pada September depan.

Kemungkinan ini bagaimanapun hanya bergantung kepada status kelulusan samada Liga Super dan Piala Malaysia dapat dilangsungkan pada tahun ini atau sebaliknya selepas Liga M terhenti sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Menerusi maklumat grafik yang dikeluarkan di Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini, tiga kelab atau pasukan yang akan dipilih ke slot pertandingan peringkat kelab anjuran AFC 2021 adalah berdasarkan tiga kriteria kemenangan melibatkan saingan Liga M yang dijangka diadakan pada musim 2020.

Calon yang dipilih untuk ke slot Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 akan dipilih dari pemenang Juara Liga Super musim 2020, manakala bagi saingan Piala AFC pula dua pasukan akan dipilih masing-masing dari juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super musim 2020.

“Sekiranya Liga M tidak diberi kelulusan untuk diteruskan, maka Juara Liga Super musim 2019 akan dipilih untuk bersaing dalam kejuaraan ACL pada 2021.”

“Bagi pemilihan untuk saingan ke slot Piala AFC 2021 pula, johan Piala FA pada tahun 2019 iaitu Kedah dan Naib Juara Liga Super 2019 akan berpeluang ke saingan piala berprestij berkenaan,” kata kenyataan itu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini sudah merangka kalendar Liga Malaysia 2020 bagi memastikan saingan Liga M musim ini terus disambung, namun permohonan MFL untuk menyambung semula pada Ogos dan latihan bermula Julai, tidak diluluskan.

“Segala perancangan baharu saingan Liga Malaysia 2020 adalah bergantung kepada keputusan serta kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menangani wabak Covid-19,” katanya.

Kedah mencatat kejayaan yang memberangsangkan pada musim 2019 apabila berjaya muncul juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan menamatkan Liga Super di tangga keempat.