Berita Gembira Buat Peminat JDT

KUALA LUMPUR: Bukan setakat penambahbaikan daripada segi barisan pemain, malah stadium ikonik Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim juga tampak sudah sedia untuk ‘bercahaya’ bagi musim 2021.

Pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi perkembangan terbaharu mengenai gelanggang skuad Harimau Selatan itu dan mengesahkan beberapa penambahbaikan yang sedang dilakukan berjalan lancar.

“(Perkembangan) padang kita mengikut jadual. Buat masa ini kami menunggu akarnya lebih kuat dan kami akan potong rumputnya untuk mengemaskannya lagi.

“Tetapi semua berjalan dengan lancar dan kualiti pun baik. Di sekeliling padang, anda boleh lihat ada jarak, pasir dan beberapa kotak hitam. Itu adalah untuk rumput tiruan yang akan kita letakkan di keliling padang.Disyorkan Untuk Anda

“(Ini) supaya apabila pemain memanaskan badan, ia (rumput) tidak akan kopak dan juga nampak lebih cantik dan kemas. Itu berkenaan padang,” katanya menerusi klip video pendek di laman Johor Southern Tigers, semalam.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut mengumumkan pihaknya akan meletakkan papan diod pancaran cahaya (LED) di bahagian atas dan akan selari dengan papan LED yang berada di bahagian bawah stadium.

“Apa sahaja yang ada di LED bawah iaitu gambar atau video akan sama dengan di LED bahagian atas. Jadi itulah yang saya mahu kongsikan.

“Ada beberapa lagi perkara yang kita sudah perbaiki membabitkan stadium dan pusat latihan yang akan saya kongsi pada masa akan datang,” katanya.