Berita baik buat penyokong Kedah.

Bagi menghargai penat lelah penyokong Hijau Kuning yang bersemangat turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’azim, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengisytiharkan bahawa seluruh Kedah akan bercuti esok jika mereka berjaya menjulang Piala Malaysia.

Pengisytiharan tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am dan ianya adalah bagi menghargai kesetiaan dan sokongan padu rakyat kepada pasukan Lang Merah.

“Kerajaan negeri membuat keputusan ini sebagai penghormatan kepada pasukan Hijau Kuning yang mengharumkan nama Negeri Kedah Darul Aman sehingga berjaya menjulang piala yang berprestij itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Kedah berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Pahang menerusi jaringan di tempat lawan dengan agregat 8-8 di Stadium Darul Makmur. Dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Kedah terikat 3-3, tetapi berjaya mencipta kejutan apabila mengikat Pahang 5-5 di Kuantan.

Kali terakhir Kedah menjulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2016 di mana mereka berjaya menewaskan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 dalam perlawanan. Namun begitu, skuad Lang Merah tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 kepada Johor Darul Ta’azim dengan keputusan 2-0.

Musim ini Kedah menduduki tempat keempat Liga Super dan juga berjaya menjulang trofi Piala FA yang akan membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2020.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.