Bekas Pengarah Teknikal Romania hantar ‘resume’ kepada Terengganu FC

Bekas Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Romania (RFF), Marian Mihail berminat untuk mengisi kekosongan jawatan selaku pengendali Terengganu FC menggantikan Irfan Bakti yang meletak jawatan, mei lalu.

Menurut laporan daripada myMetro, pengendali kelahiran Romania yang berusia 61 tahun itu telah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi ejennya.

“Beliau berminat untuk datang ke Malaysia dan melatih pasukan Liga Super yang disifatkan antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Terengganu pula antara pasukan yang sering muncul sebagai pencabar kejuaraan. Sudah tentu pengalaman dan ilmu bola sepak moden yang ada pada Mihail boleh digunakan sebaiknya Terengganu,” kata seorang ejen bola sepak yang tidak mahu didedahkan identitinya dalam myMetro.

Marian Mihail mempunyai pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan bola sepak. Beliau memiliki lesen professional UEFA dan telah mengendalikan lebih daripada 10 buah kelab di serata eropah dan asia sejak tahun 1996.

 

Menurut laman sesawang transfermarkt.com, pasukan terakhir yang dikendalikan Marian Mihail ialah FLC Thanh Hoa yang bersaing dalam kancah V.League 1. Jodohnya bersama pasukan itu sekadar bertahan sehingga april 2018, dan beliau tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas daripada itu.

sumber: foxsports

Walaupun telah menghantar ‘resume’ kepada pasukan Terengganu FC, nama beliau turut menarik minat pasukan daripada Liga Indonesia. Selain daripada menjadi pengurus atau ketua jurulatih, Marian Mihail turut memegang jawatan selaku pengarah teknikal bersama tiga buah pasukan termasuk dengan pasukan negaranya pada tahun 2011-2014.

“Beliau juga mempunyai kepakaran dalam mengesan bakat muda. Jadi saya percaya kehadiran beliau bukan saja bermanfaat untuk pasukan liga utama tapi juga pembangunan di negeri itu,” kata ejen itu lagi.

Setakat ini, PBSNT mahupun Terengganu FC tidak mengumumkan sebarang perkembangan mengenai jurulatih yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Bakti. Dan kekosongan jawatan itu dipangku oleh Nafuzi Zain sehingga tamat musim ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *