Bekas pemain Aston Villa Sertai Pasukan Liga M

Kuala Terengganu: Selepas memperkenalkan Petrus Shitembi dan Carli De Murga, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan dua lagi awang import mereka iaitu bekas pemain kelab Aston Villa, Christopher Herd dan pemain kelahiran Brazil, David Da Silva.

Da Silva bekas pemain kelab Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia bakal mengisi posisi peny3rang menggantikan tempat pemain kelahiran Mauritania, Dominique Da Sylva yang tidak disambung kontrak walaupun muncul penjaring ketiga terbanyak Liga Super musim lalu.

Manakala Herd yang beraksi di posisi pertahanan bakal membentuk gandingan mantap bersama seorang lagi awang import berdarah kacukan Filipina-Sepanyol, Murga.

“Herd dan Da Silva sah menjadi milik TFC musim ini selepas masing-masing diikat kontrak selama setahun.

“Herd berasal dari Melbourne, Australia adalah pemain yang berpengalaman luas di peringkat tertinggi ketika menyarung jersi skuad kebangsaan negaranya dan juga Liga Perdana Inggeris bersama Aston Villa selama 5 tahun.

“Kehadiran bekas pemain kelab Sheikh Russel dalam Liga Bangladesh musim lalu berusia 31 tahun itu bakal memperkemaskan lagi bahagian pertahanan bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2021 selain Piala AFC.

Bekas pemain kelab Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia, David Da Silva perkasa jentera serangan TFC. FOTO Ihsan TFC

“Manakala Da Silva yang membantu bekas kelabnya, Persebaya muncul naib juara dalam Liga Indonesia 2019 bakal menjadi senjata pemusnah buat TFC sebagaimana ketika meledak 20 gol daripada 23 perlawanan pada tahun 2018 dan 14 gol daripada 17 perlawanan bagi tahun 2019 ketika bersama kelab itu.

“Pemain berusia 31 tahun itu yang meminati peny3rang legenda Brazil, Ronaldo bakal memakai jersi bernombor 14,” demikian menurut kenyataan TFC dalam laman media sosialnya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, Da Silva memiliki pakej lengkap sebagai peny3rang berbisa dan diharap dapat membantu menajamkan jentera di bahagian serangan begitu juga dengan Herd.

“Saya harap Da Silva dan Herd dapat membantu kejayaan TFC dalam saingan Liga M selain Piala AFC musim ini,” katanya.