badi buat Johor Darul Ta’zim (JDT)

KUALA LUMPUR: PJ City harus dilabel badi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila sekali lagi membuat Harimau Selatan kec3wa apabila berjaya mengikat bakal juara itu 2-2 pada aksi Liga Super, kelmarin.

Kejayaan anak buah K Devan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu sekali gus menangguhkan seketika hasrat pelawat untuk meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Mengikut rekod, ini bukan kali pertama skuad ‘Phoenix’ mengec3wakan JDT kerana sebelum ini, mereka pernah menewaskan gergasi itu 2-1 pada aksi Piala Malaysia 2018 disusuli kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super 2019 di mana kedua-dua perlawanan berlangsung di tempat lawan.

Bagaimanapun, Devan menjelaskan tiada rahsia di sebalik kejayaan mengekang JDT memandangkan ia disebabkan pemain berjaya mengikut perancangan yang sudah disusun selain disiplin tinggi yang ditunjukkan.

“Kita menunjukkan tahap persembahan yang berbeza apabila menentang JDT yang sememangnya diketahui pasukan terbaik di Malaysia. Ia bukanlah perlawanan yang berat sebelah dan kita berjaya memberi saingan sengit dan tidak menjadi pasukan belasahan.

“Kita turun tanpa kekuatan penuh kerana kita kehilangan dua pemain import sebelum perlawanan dan seorang lagi cedera ketika perlawanan. Jadi dengan dua pemain import dan barisan pemain tempatan, saya anggap ini satu keputusan yang membanggakan,” katanya.

Devan berkata, perubahan taktikal terpaksa dilakukan selepas mengambil kira kekuatan yang dimiliki JDT dan dengan keputusan seri yang diperoleh, sekurang- kurangnya mereka berjaya memperoleh satu mata berharga untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Kita membuat taktikal mengikut kesesuaian dan berdasarkan beberapa keputusan perlawanan JDT sebelum ini, kita tahu kita tidak boleh bermain secara terbuka. Tetapi kita tidaklah ‘parking bas’ selama 90 minit kerana kita juga perlu menyerang untuk mendapatkan gol.

“Kita mengasak JDT menggunakan serangan balas dan corak permainan pantas. Menerusi taktikal ini, kita berjaya mendahului mereka pada satu ketika namun sedikit kesilapan menyebabkan kita terikat 2-2,” katanya.