Azman Adnan buat kemunculan semula

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menyepi, bekas peny3rang sensasi kebangsaan Azman Adnan akhirnya membuat kemunculan semula.

Namun, kemunculannya kali ini adalah dalam bidang perniagaan apabila legenda bola sepak Malaysia itu mengeluarkan produk yang menggunakan jenamanya sendiri hasil kolaborasi bersama Jemz Group International Sdn Bhd (Jemz Group).

Selain produk berasaskan pakaian termasuk jersi, Azman turut menjadi pemain bola sepak pertama memiliki sandal edisi khas selepas bekerjasama dengan jenama Fipper.

Ketua Pegawai Eksekutif Jemz Group, Jemizan Abu Bakar berkata sehingga kini hampir 500 pasang sandal khas berkenaan sudah ditempah walaupun produk itu masih dalam produksi dan hanya akan berada di pasaran sekitar Februari 2021.

Jenama Azman Adnan secara rasmi dilancarkan dalam satu majlis, di sini, hari ini dan orang ramai boleh membeli produk jenama Azman Adnan menerusi atas talian di www.monyok.com.

Sementara itu, Azman ketika ditemui media selepas majlis pelancaran jenamanya berkata tindakannya memberanikan diri menceburi bidang perniagaan bagi mencuba perkara baharu.

Malah, dia yang terkenal sebagai bekas peny3rang Selangor mengakui rindu untuk kembali aktif dalam bola sepak termasuk dalam bidang kejurulatihan.

“Kalau kata tak rindu kepada bola sepak itu tipulah, kerana berpuluh tahun saya dalam sukan itu. Cuma sekarang yang mengekang untuk saya kembali aktif dalam bola sepak kerana kecederaan.

“Kecederaan lutut kiri membuatkan pergerakan saya terbatas kerana tak boleh berdiri lama. Sepatutnya pembedahan bulan ini, tapi doktor tunggu tisu dari Australia kerana lutut saya macam sudah pecah.

“Insya-Allah kalau selepas pembedahan dan kesihatan mengizinkan, saya akan kembali dalam bola sepak. Tidak kisah sebagai jurulatih, penasihat atau sebagainya kerana jiwa saya memang dalam bola sepak,” katanya.