Awas perangkap JDT

KUALA TERENGGANU: Pertahanan Terengganu FC (TFC) Muhammad Mohd Fauzi tidak rela berputih pada pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Pemain muda yang mula diberi kepercayaan jurulatih membarisi kesebelasan utama menyatakan dia sedia mengunci pergerakan jentera pengg3mpur skuad Harimau Selatan yang diketuai Diogo Santo selain pemain lincah kelahiran Terengganu, Safawi Rasid.

Muhammad mengakui kepercayaan diberikan pengendali pasukan Nafuzi Zain menambah lagi keyakinannya untuk menyekat pemain Harimau Selatan daripada bermaharajalela di kawasan gol pasukannya.

Pada aksi menentang Sabah dan Melaka minggu lalu, pemain berusia 24 tahun itu bergandingan dengan Argzim Redzovic dan diapit Muhammad Hafizal Alias serta Ariff Fadzilah Abu Bakar di bahagian kanan dan kiri.

“Saya akui JDT adalah pasukan terbaik Liga Malaysia lebih-lebih lagi mempunyai ramai pemain yang berupaya meledak jaringan.

“Kemenangan besar skuad itu menumpaskan Perak 7-0 membuktikan pemain skuad itu begitu bahaya jika tidak dikawal rapi.

“Tapi saya tidak mahu memikirkan perkara itu kerana dalam sukan bola sepak macam-macam boleh berlaku, kami pernah menewaskan skuad itu di Kuala Terengganu dua tahun lalu dan pernah seri di arena lawan musim lalu, ketika itu saya disenaraikan dalam pasukan.

“Jika sekali lagi diberi peluang, sudah pasti saya mahu membalas kepercayaan jurulatih dengan aksi sehabis baik bagi memastikan kemenangan menjadi milik kami sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga di belakang pasukan itu,” kata Muhammad.

Muhammad pernah berguru selama tiga bulan dalam Liga Perdana Queensland, Australia bersama skuad Harimau Muda A ketika berusia 18 tahun pada tahun 2014.