Apa yang Sabah boleh jangkakan daripada Kurniawan Dwi Yulianto?

Selepas menjuarai Liga Premier pada musim lalu di bawah kendalian Jelius Ating, Sabah membuat kejutan apabila mendapatkan khidmat bekas pemain Sarawak dan skuad kebangsaan Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto untuk mengendalikan pasukan mereka.

Akan tetapi, jurulatih berusia 43 tahun itu tidak mempunyai banyak pengalaman sebagai seorang ketua jurulatih dan setakat ini hanya pernah menjadi pembantu jurulatih bersama pasukan Indonesia.

Kami cuba merisik daripada rakan sejawat kami, Aun Rahman dari Fox Sports Indonesia mengenai apa yang boleh Sabah jangkakan daripada Kurniawan Dwi Yulianto.

Disebabkan Kurniawan mempunyai banyak pengalaman bermain sebagai seorang penyerang dahulu, pasukannya pasti akan bermain dengan falsafah menyerang dan belum diketahui bagaimana taktikal bertahan yang akan digunakan olehnya.

Biarpun Kurniawan mempunyai pengalaman minimum sebagai seorang jurulatih di peringkat kelab, tetapi ramai jurulatih lain menyatakan bahawa dia adalah seorang jurulatih yang bijak ketika bersama mengambil kursus lesen kejurulatihan.

Kurniawan yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Switzerland bersama FC Luzerne mempunyai kelebihan kerana setakat ini tiada siapa tahu corak permainan yang akan diterapkannya sekaligus mampu memberikan kejutan kepada pasukan lawan. Biarpun begitu, Kurniawan pastinya akan berdepan tekanan untuk memastikan kempen pertama Sabah di Liga Super berjaya dan tidak akan bersaing semata-mata untuk mengelak penyingkiran.

Selain itu, corak permainan Saddil yang rajin dan pantas akan sangat membantu taktikal Kurniawan yang mahukan pemainnya memberikan tekanan kepada pasukan lawan.

Namun begitu, mereka perlu memberikan masa dan sokongan kepada Kurniawan supaya dia dapat membentuk skuad Tambadau mengikut taktikal dan acuan yang dimahukannya. Ia mungkin satu perjudian untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih yang setakat ini hanya pernah terlibat dengan skuad kebangsaan sebagai seorang pembantu, tetapi dalam bolasepak, kadang kala kita perlu mencuba sesuatu yang baru.