Apa Barang Main Tujuh Perlawanan

Pemain pertahanan Pahang, Herold Goulon berkata perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak (FAM) untuk memendekkan saingan Liga Super adalah sangat merugikan.

MFL telah memutuskan saingan Liga Super selepas ini akan diteruskan dengan menamatkan pusingan pertama sahaja dengan hanya berbaki tujuh perlawanan ekoran penggantungan liga disebabkan pandemik COVID-19.

Saingan Piala FA dimansuhkan dan kempen Piala Malaysia pula akan dilaksanakan menggunakan format kalah mati.

Badan pengurusan liga itu juga kini sedang merangka prosedur dan protokol untuk membolehkan semua pasukan kembali menjalani latihan bermula Ogos dan kembali meneruskan aksi Liga Malaysia (Liga-M) pada September.

Bagaimanapun dalam satu temubual bersama The Star bekas pemain Blackburn Rovers dan Middlesbrough itu menjelaskan baginya tidak adil untuk bermain cuma tujuh perlawanan dan tiada pusingan kedua.

“Agak tidak masuk akal untuk pendekkan saingan liga. Saya tidak rasa ada masalah besar untuk kita tamatkan musim ini lebih lewat daripada biasa.

“Sekurang-kurangnya satu daripada dua kejohanan – Liga Super atau Piala Malaysia – perlu dijalankan secara penuh, tamatkan sehingga hujung November atau awal Disember pun tak mengapa.”

Goulon mengakui beliau sangat rindukan sesi latihan berpasukan sekalipun beliau dapat melakukan senaman bersama rakan pemain import lain seperti penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan Lebanon, Khalil Khamis di rumah mereka.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan [PKP], saya melakukan senaman lima hari dalam seminggu. Bukan mudah, tetapi saya perlu meneruskannya sehingga hari ini. Saya percaya tahap kecergasan saya masih baik, saya tidak terlalu risau mengenainya.

Memasuki musim keduanya bersama skuad Tok Gajah, pemain kelahiran Paris ini mengakui semakin selesa bersama pasukan dan cukup senang dengan keprihatinan ketua jurulatih, Dollah Salleh.

Menurutnya, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu sering bertanya khabar dan amat menjaga kebajikan semua pemainnya sepanjang tempoh PKP ini.

“Beliau menasihati kami supaya jaga diri masing-masing dan pastikan keluarga kami dalam keadaan baik.

“Sudah tentu saya rindukan bola sepak dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi. Buat masa sekarang, saya akan mulakan dengan menonton perlawanan Bundesliga walaupun saya tidak pernah monontonnya sebelum ini.”