Antara Tonggak Terbaik Yang Pernah Bermain Di Liga Malaysia

PEMAIN sayap kebangsaan yang juga tonggak utama Pahang, Mohamadou Sumareh, mengakui sehingga kini dia masih mengagumi bekas pemain import PDRM FA dari Maldives, Ali Ashfaq.

Walaupun sudah lima tahun berlalu, Sumareh yang pernah selama dua musim bersama Ashfaq ketika di PDRM, berasakan pemain itu antara tonggak terbaik yang pernah bermain di Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Sumareh, pemain kebangsaan Maldives berkenaan sentiasa menghadirkan elemen kejutan untuk membantu pasukan pada minit-minit terakhir permainan serta seorang yang sentiasa tidak pernah kenal erti putus asa.

“Dia seorang pemain yang boleh ubah segalanya di atas padang dan mampu membantu pasukan dari ambang kekalahan kepada kemenangan. Ketika pasukan terikat 0-0 dan baki perlawanan tinggal hanya 10-20 minit, ketika itulah saat-saat kejutan akan berlaku apabila ada kalanya dia mampu menjaringkan beberapa gol dalam situasi tidak diduga.

“Dia seorang yang bijak, licik dan sukar dikawal pergerakannya malah teknik rembatannya juga mengagumkan kerana banyak kali dapat hasilkan gol daripada situasi sukar,” katanya.

Ashfaq salah seorang pemain dalam Barisan XI pilihan Sumareh selain turut memilih orang besi Pahang, Dickson Nwakaeme dan Safawi Rasid dalam senarai peny3rang untuk formasi 4-3-3.

Selain itu, Sumareh memilih Farizal Marlias selaku penjaga gol pilihan manakala empat pemain pertahanan ialah Corbin Ong, Herold Goulon, Muslim Ahmad dan Matthew Davies.

Tiga pemain tengah pilihan Sumareh pula ialah Brendan Gan, Nor Azam Azih dan Natxo Insa.