“Alhamdullillah sambutan luar biasa”

Kota Kinabalu: Selepas hasrat untuk menyarung jersi Sabah tidak kesampaian, bekas peny3rang kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman mendedahkan sudah ‘dilamar’ pasukan lain.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu enggan mendedahkan pasukan yang dimaksudkan dan hanya memberi bayangan pasukan berkenaan beraksi di Liga Super.

“Ya sudah ada (pasukan), tapi saya belum boleh beritahu… kita tunggu pengumuman rasmi nanti.

“Saya harap akan dapat memberikan aksi terbaik buat pasukan baru itu nanti kerana sememangnya sasaran saya adalah untuk membuat penampilan semula dalam kebangsaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ditanya mengenai isu perpindahannya ke Sabah, Rozaimi berkata, belum ada rezeki lagi untuk bermain di negeri kelahirannya.

“Belum ada rezeki untuk bermain dengan pasukan Sabah walaupun hasrat itu memang ada, cuma rezeki belum ada,” katanya.

Sementara itu, Rozaimi yang juga bekas pemain pasukan Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) berkata, buat masa ini beliau sibuk menjalankan perniagaan butiknya sendiri di Sabah.

Katanya, selain membuka butik dengan menjual baju jenamanya sendiri, anak jati Bongawan itu juga aktif menjalankan perniagaannya secara online.

“Saya jalankan perniagaan menjual baju, jenama saya sendiri ‘MR11 Rozaimi Sport Boutique’. Selain kedai butik itu, saya juga menjalankan perniagaan kedai gunting ‘babershop’ untuk tambah pendapatan.

“Alhamdullillah sambutan luar biasa terutama melalui bisnes online,” katanya