Aksi Tertunda Liga Super Dan Liga Premier

Badan pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, perlawanan tertunda yang membabitkan perlawanan diantara PJ City menentang Terengganu FC (Liga Super) dan UKM FC menentang Kelantan (Liga Premier) terlebih dahulu membuka semula tirai Liga Malaysia pada 22 Ogos 2020.

Keputusan tarikh perlawanan itu dicapai menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

“Pasukan tuan rumah iaitu PJ City FC dan UKM FC hendaklah memastikan pelan kawalan keselamatan, persediaan stadium atau venue perlawanan, petugas-petugas stadium diatur dan disediakan dengan cukup rapi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

MFL juga percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Julai lalu.

“Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan di mana setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

“Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan Operasi Standard Prosesur (SOP) pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan kelak.

“Bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia 2020, pihak MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan. Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

MFL kekal dengan format pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier di mana saingan secara separuh liga sahaja. Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Begitu juga dengan pertandingan TM Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.