Aksi sukar menanti JDT

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berwaspada dengan ancaman Petaling Jaya City FC (PJ City FC) apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Kemenangan dalam perlawanan itu bakal menyaksikan JDT berada di landasan tepat bagi menjulang trofi kejuaraan liga lebih awal musim ini.

Skuad kendalian Benjamin Mora hanya hanya perlu menunggu keputusan membabitkan aksi antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini sebelum ‘berpesta’ meraikan gelaran buat kali ketujuh berturut-turut.

Mora bagaimanapun enggan memikirkan mengenai perkara itu sebaliknya jurulatih dari Mexico itu mahu fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi PJ City FC yang disifatkan sebagai pasukan yang mampu melakar kejutan.

“Walaupun mereka (PJ City FC) berada di kedudukan ke-10 liga, bukan bermakna mereka pasukan yang lemah. Kita kena berwaspada kerana mereka akan turun dengan bermati-matian bagi mengelak berada di zon peny!ngkiran.

“Saya akan merangka strategi yang ampuh dan memberitahu pemain aksi menentang PJ City FC ibarat perlawanan awal musim dan tidak boleh ambil mudah. Kami anggap ia juga bagaikan aksi final dan semestinya setiap pemain perlu beri komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

“Ia perlawanan sukar buat kami. Malah kami perlu bermain dengan corak permainan yang berhati-hati bagi mengelak kesilapan yang mungkin akan membawa padah. Sejak musim lalu pasukan PJ City FC adalah pasukan sukar untuk ditewaskan,” katanya.

Mengulas mengenai status Mauricio Dos Santos sama ada pemain import dari Brazil itu akan diturunkan pada aksi menentang PJ City FC, Mora, berkata beliau masih memantau tahap kecergasan pemain berkenaan selepas tidak diturunkan akibat pengg@ntungan satu perlawanan ketika JDT memb3lasah Selangor 6-1, Sabtu lalu.

“Kita tengok dulu kecergasan Mauricio dan dia sekarang sudah menjalani latihan namun jika keadaan masih tidak mengizinkan untuk turunkan dia, kami ada alternatif lain untuk mengukuhkan benteng pertahanan, ” kata Mora