Akhyar ambil peluang beraksi di luar negara

Jika ada peluang beraksi di luar negara, pergilah.

Itulah yang dikatakan oleh bekas ketua jurulatih Kedah, Negeri Sembilan dan Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkenaan pemain sayap lincah Johor Darul Ta’azim (JDT), Akhyar Rashid.

Akhyar sebelum ini diberitakan telah menarik perhatian beberapa kelab luar negara, seperti dinyatakan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sesi ‘No Holds Barred’ baru-baru ini. Menurut Tunku Ismail, ada beberapa pemain JDT telah dirisik oleh pasukan luar negara dan ada kelab dari Jepun telah menyatakan minat untuk meminjam pemain berusia 20 tahun itu.

Bagi Azraai, dia memuji tindakan JDT yang mempunyai rangkaian dengan kelab luar negara dan merasakan pemain muda seperti Akhyar perlu mengambil peluang beraksi di luar negara jika diberi peluang.

“Secara peribadi, saya melihat Akhyar belum matang dan dia mungkin hilang fokus. Pendedahan saya sebelum ini dengan harapan ada pihak daripada keluarganya atau kelab beri dia kaunseling dan bimbingan.

“Kita tidak boleh terlalu beri tek@nan kepadanya. Dengan peluang dan tawaran dari kelab bola sepak luar negara, dia kena ambil. Kita yakin ini untuk masa depan tetapi terpulang kepada dirinya.

“Apa yang TMJ buat itu untuk membuka pasaran pemain melalui rangkaian hubungan dengan kelab luar negara dan ia bagus untuk pemain muda JDT,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Akhyar merupakan antara bakat muda yang sebelum ini memang telah menjadi perhatian pasukan-pasukan luar negara. Beberapa laporan sebelum ini ada menyatakan kelab-kelab dari Thailand dan Jepun pernah menyatakan minat untuk mendapatkan Akhyar ketika dia masih beraksi bersama Kedah lagi.