Akhirnya Terjawab

ALOR SETAR: Persoalan mengenai status jawatan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terjawab apabila badan induk itu mengesahkan kekosongan jawatan presiden, naib presiden 1 dan setiausaha kehormat hari ini.

Pengumuman itu dilakukan selepas ahli eksekutif yang mengadakan Mesyuarat Eksekutif KFA petang tadi bersetuju menerima surat peletakan jawatan tersebut. Menerusi maklumat media yang dikeluarkan KFA, Timbalan Presiden Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata KFA sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Naib Presiden 1 Anas Hafiz Mustaffa dan Setiausaha Kehormat Asmirul Anuar Aris.

“KFA juga sebulat suara meneruskan proses seterusnya iaitu dengan mengikut statut persatuan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan itu bagi melancarkan pentadbiran KFA dalam melaksanakan tanggungjawab bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit.” katanya.

Abdul Rahman juga berkata, pemilihan bagi calon untuk jawatan berkenaan akan dilakukan selepas ini dan notis berkaitan perkara ini akan dikeluarkan kepada ahli gabungan KFA dalam masa terdekat.

“KFA akan mengeluarkan notis segera kepada ahli gabungan untuk mencadangkan calon bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan dan pihak pengurusan akan melaksanakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) menurut tatacara dan jangkamasa yang ditetapkan statut KFA.

Pihak pengurusan juga memandang serius berkenaan isu kebajikan pasukan dan komited untuk melangsaikan tanggungan semasa melalui beberapa kaedah yang sesuai dengan kedudukan kewangan persatuan,” katanya.