Adakah Piala Malaysia 2020 Dibatalkan?

Sebentar tadi, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 oktober sehingga 27 oktober ini berikutan peningkatan kes wabak COVID-19.

Menurut kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Malah, keputusan itu dibuat susulan peningkatan dan penularan kes yang berlaku di Klang, Petaling dan banyak lagi.

PKPB juga bermakna semua aktviti sukan dan rekreasi tidak lagi dibenarkan berlangsung sekaligus memberi bayangan saingan Piala Malaysia pada tahun ini kemungkinan terpaksa dibatalkan.

Minggu lepas, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perlawanan pertama Piala Malaysia akan bermula pada 25 dan 26 Oktober 2020 berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober 2020.

Tambahan lagi, pelaksanaan penguatkuasaan PKPB itu juga tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar masuk atau merentas daerah dan ia pasti akan menjejaskan perjalanan semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia.

Memandangkan Malaysia diberikan dua slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Cup musim depan, maka satu lagi slot diberikan kepada juara Piala Malaysia 2020.

Jika saingan Piala Malaysia dibatalkan, kemungkinan besar slot kedua AFC Cup 2021 akan diberikan kepada pasukan di tempat ketiga CIMB Liga Super 2020 iaitu Terengganu FC.

JDT selaku juara CIMB Liga Super 2020 layak ke AFC Champions League musim depan manakala Kedah sebagai naib juara akan beraksi di AFC Cup.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada MFL dan mereka dijangka akan memberi penjelasan dalam masa terdekat.