Ada Antara Pemain Diberikan Tempoh Tidak Sampai 24 Jam

Sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Malaysia dilaporkan memaksa pemain supaya bersetuju untuk menandatangani perjanjian pemotongan gaji, tanpa memberitahu berapa banyak pemotongan akan dibuat.

Menurut laporan Arena Metro, ada antara pemain diberikan tempoh tidak sampai 24 jam untuk meneliti dokumen perjanjian sekaligus memaksa pemain bersetuju dengan terma yang ditetapkan kerana bimbang tidak akan dapat menerima gaji pada masa akan datang.

Seorang pemain dari pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang berkata, semua pemain hanya mengetahui gaji mereka akan dipotong sehari sebelum pengurusan membuat keputusan tersebut.

“Pengurusan tidak pun membincangkan mengenai nasib kami pada masa akan datang malah akan terus membuat pemotongan tanpa mengikut jumlah gaji yang diterima pemain.

“Bayangkan jika pemain bergaji dalam RM5,000 dan dipotong sehingga 40 peratus sudah tentu hanya berapa saja yang diterima berbanding dengan individu yang dibayar sehingga RM20,000.

“Pemotongan akan dilakukan secara berperingkat namun jelas maksimum tidak dinyatakan, sekali gus memberi bayangan kemungkinan kami tidak akan mendapat gaji nanti.”

sumber: football

Seorang lagi pemain pasukan Liga Super turut mengakui pasukannya sengaja membuat perjanjian pada saat akhir supaya pemain bersetuju dengan perjanjian yang ditetapkan.

Sudahlah Liga Malaysia musim 2020 berada diambang pembatalan, pemain pula terpaksa terima pemotongan gaji.

Apakah nasib Liga Malaysia selepas ini?