11 Pemain Istimewa

KUALA LUMPUR: Setiap pemain bola sepak memiliki kualiti tersendiri yang mampu menjadi ‘senj@ta’ buat mereka setiap kali beraksi di atas padang.

Bagaimanapun, di sebalik kehebatan setiap pemain, tiada pemain yang boleh dianggap ‘pemain paling sempurna’ memandangkan mereka tetap ada kelemahan yang boleh dimanipulasi lawan.

Mungkin ada pemain yang memiliki kekuatan tetapi tidak pantas, ada pemain yang mampu berlari ‘sepantas kilat’ tetapi mudah dijatuhkan, ada yang boleh menggelecek dengan baik tetapi penyudah kurang tepat dan ada juga kurang teknikal tetapi memiliki rembatan kencang.

Tetapi, apa pula yang akan jadi apabila kita boleh menggabungkan kualiti terbaik yang ada pada setiap pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menghasilkan pemain dengan rating 10/10?

BH Sukan mendapatkan pandangan jurulatih berpengalaman yang berjaya meraih pelbagai trofi, Azraai Khor Abdullah dalam usaha kami mencipta pemain terunggul di negara ini.

Pemain ini ‘dilahirkan’ dengan mengambil kualiti terbaik dari segi kaki kiri, kaki kanan, penyudah, ‘otak’ bola sepak, visi, kekuatan, kepantasan, stamina, hantaran, sepakan percuma, gelecekan dan tandukan:

Kaki kanan: Mokhtar Dahari

“Pemain dengan rembatan yang begitu deras. Tendangan kaki kanannya pasti menghadiahkan gol dan jaringannya ketika bertemu Arsenal dan England membuktikan dia memang berkelas dunia.”

Kaki kiri: Wong Choon Wah

“Saya memilih bekas pemain tengah Selangor dan pemain kebangsaan ini kerana kaki kirinya memang sempurna. Dia boleh gunakan apa sahaja bahagian kaki kirinya dengan baik tanpa mengira kaki bahagian dalam ataupun bahagian luar.”

Penyudah: Marlon Alex James

“Salah satu ‘ramuan rahsia’ di sebalik kejayaan Kedah merangkul gelaran ‘Double Treble.’ Ini dibuktikan apabila dia merangkul Penjaring Terbanyak Liga Super sebanyak dua kali dan pernah memenangi Pemain Import Terbaik.”

‘Otak’ bola sepak: Nelson Sam Martin

“Arkitek yang merencana jentera tengah Kedah. Jeneral terbaik dalam saingan Liga M dan kebijaksanaannya mengatur gerakan menyebabkan Kedah menjadi pasukan terbaik di negara ini satu ketika dahulu.”

Visi: Soh Chin Aun

“Chin Aun menjadi pilihan kerana saya pernah beraksi bersamanya. Pemain dengan visi yang baik dan walaupun sebagai pertahanan, gerakannya semua adalah ‘gerakan yang sudah dikira’ dan hantarannya bukan hantaran melulu serta ‘ada makna’.”

Kekuatan: Marlon Alex James

“Sekali lagi Marlon menjadi pilihan kerana kualiti inilah yang membantu dia menjaringkan banyak gol. Tidak keterlaluan kalau saya sifatkan dia sebagai pemain yang sempurna.”

Kepantasan: Nidzam Adzha Yusoff

“Secara keseluruhannya, saya lihat tidak ada pemain yang betul-betul laju tetapi saya tertarik untuk menceritakan mengenai Nidzam Adzha Yusoff. Dia memang pemain yang laju dan kelebihan itu digunakan sebaiknya menerusi posisinya sebagai sayap kiri.”

Stamina: S Kunanlan

“Pemain yang paling rajin dan kita boleh tengok dalam setiap persembahannya. Walaupun bermain di posisi bek kanan tetapi dia sering ‘turun naik’ membantu jentera ser@ngan dan benteng pertahanan.”

Hantaran: Safiq Rahim

“Pemain tengah terbaik negara ketika zaman kegemilangannya. Kehadirannya memang berpengaruh di atas padang ketika beraksi bersama Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selain menjadi tonggak pasukan kebangsaan.”

Sepakan percuma: Safawi Rasid

“Pemain ini memiliki teknik tendangan sepakan percuma yang baik dan mampu menghasilkan gol.”

Gelecekan: Sandro da Silva

Corak bola sepak moden yang dipraktikkan Liga M menyaksikan tidak ramai ‘kaki gelecek’ kerana kebanyakannya menggunakan hantaran pendek selain ‘hantar dan gerak’. Namun Sandro boleh dianggap antara pemain yang memiliki kemahiran menggelecek yang terbaik pada zaman kegemilangannya.”

Tandukan: Herold Goulon

“Jika dinilai berdasarkan statistik, saya kira mungkin ini pemain yang ada ‘kepala’ paling bahaya. Tidak boleh dibiarkan dalam situasi bola mati kerana dia mampu melonjak dan menanduk bola dengan kemas untuk mendapatkan gol buat pasukannya.”